KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan membuat kenyataan didakwa boleh menimbulkan kegentaran awam menerusi aplikasi TikTok, tahun lepas.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen inti pati bagi pertuduhan dalam kes tersebut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
"Secara tuntasnya, pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh dalam kes ini di akhir kes pendakwaan dan oleh demikian, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri. Wang jaminan RM4,000 dikembalikan," kata Nurul Izzah.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hilman didakwa membuat kenyataan yang mungkin boleh menimbulkan kegentaran awam serta mendorong mana-mana orang melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di TikTok pada 2.09 petang, 30 Julai 2025.
Pautan video tersebut didakwa dilihat oleh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ di sini.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md Nor manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham.
-- BERNAMA