KUALA LUMPUR :Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada Isnin mengesahkan beliau didapati positif COVID-19.

Yi Wei yang melakukan kuarantin kendiri di rumah selepas kembali dari Sabah pada 27 September lepas, berkata hasil ujian saringan COVID-19 kedua diperoleh hari ini mendapati beliau positif.

"Saya sebelum ini menjalani saringan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan dipakaikan gelang merah jambu.

“Pada 30 September, saya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling Jaya untuk mengetahui keputusan saya.

“Keputusan ujian saringan pertama saya adalah negatif dan saya dipanggil untuk menanggalkan gelang merah jambu keesokan harinya. Malangnya, saya mula mengalami gejala pada hari tersebut.

“Berdasarkan saranan PKD, saya menjalani ujian saringan kedua pada 2 Oktober dan sambung pengasingan kendiri sehingga saya dimaklumkan keputusannya pada hari ini (5 Oktober),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Tambahnya, pasukannya juga melakukan kuarantin kendiri sejak hari pertama kembali dari Sabah.

“Mereka juga mendapat keputusan ujian saringan pertama yang negatif dan akan menjalankan ujian saringan kedua dalam waktu terdekat.

“Saya mohon maaf kepada semua kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), sahabat perjuangan dan semua yang terkesan walaupun semua langkah berjaga-jaga dipatuhi semasa berkempen dan pengasingan kendiri sejak hari pertama.

“Saya juga menyeru semua yang berkontak rapat dengan saya sejak 14 hari kebelakangan ini untuk menjalankan ujian saringan di klinik kesihatan yang terdekat,” ujarnya.

Astro AWANI hari ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi pemimpin negara terbaharu yang disahkan positif pandemik COVID-19.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook peribadinya, Dr Zulkifli berkata, beliau kini menjalani rawatan.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman beliau selama 14 hari mengikut nasihat KKM. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, berkata, keputusan itu diambil susulan Zulkifli disahkan positif COVID-19 hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya pada 3 Oktober lalu dan Dr Zulkifli merupakan salah seorang yang menghadiri sesi berkenaan.