ADUN Kota Siputeh terbabit kemalangan, kereta langgar lori, terbalik

Adie Sufian Zulkefli
Disember 13, 2023 07:12 MYT
Mohd Ashraf Mustaqim (gambar kecil) cedera selepas keretanya melanggar sebuah lori sebelum terbabas dan terbalik. - Gambar/ PDRM
ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir cedera selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Chempa-Changlun, di Pauh, di sini pada Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian jam 9.05 malam itu berlaku ketika mangsa yang berusia 37 tahun memandu Perodua Aruz menuju ke arah Arau.
“Semasa kereta mangsa melalui Jalan Ulu Pauh-Arau, mangsa terlanggar sisi sebuah lori Mitsubishi Fuso yang diparkir di kiri jalan dalam kedudukan melintang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa terbabas ke tepi jalan dan terbalik.
“Mohd Ashraf mengalami kecederaan luka ringan di bahagian mulut manakala pemandu lori berusia 66 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa kemudian dibawa dan dirawat di Hospital Pakar KPJ Perlis kerana mengadu pening kepala dan mengalami kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam Pilihan Raya Negeri Kedah lalu, Mohd Ashraf Mustaqim yang mewakili Perikatan Nasional berjaya menewaskan penyandang kerusi itu, Dr Salmee Said daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas, Abdul Ramli@Latif dengan majoriti 13,090 undi
#ADUN Kota Seputeh #Mohd Ashraf Mustaqim #kemalangan #langgar lori