ADUN Selangor antara 29 ditahan kerana disyaki ceroboh hutan simpan

Bernama
Julai 18, 2021 09:46 MYT
JPNP memaklumkan ADUN lelaki itu bersama kumpulan dari Selangor dan Kuala Lumpur, dipercayai masuk ke hutan simpan berkenaan pada pukul 11 pagi semalam. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUANTAN: Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) menahan 29 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kerana didakwa memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai di Lipis tanpa kebenaran, pagi ini.
JPNP menerusi kenyataan memaklumkan ADUN lelaki itu bersama kumpulan dari Selangor dan Kuala Lumpur, dipercayai masuk ke hutan simpan berkenaan pada pukul 11 pagi semalam, dengan alasan hendak memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli.
"Mereka ditahan kira-kira pukul 8 pagi tadi di Kampung Rakoh, Pos Lenjang di Lipis dan turut disita ialah 11 buah kenderaan pacuan empat roda dipercayai digunakan mereka," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
JPNP memaklumkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara 1984, berkaitan keperluan permit memasuki hutan simpan serta kuasa menangkap, menyita dan menyiasat oleh pegawai perhutanan.
Semua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan bagi tujuan saringan kesihatan.
-- BERNAMA
#adun selangor #ADUN #hutan simpan #Hutan Simpan Ulu Jelai #Pahang #Orang Asli