ADUN Warisan, UMNO tidak hadir DUN Sabah, sepakat sokong dua RUU kuasa kawal selia bekalan gas

Mirlen Axtius
Januari 10, 2023 15:52 MYT
Anggota perbarisan pasukan keselamatan sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini. - fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Warisan dan UMNO Sabah dilihat tidak hadir pada sidang khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Walaupun tidak menghadiri sidang khas itu, kedua-dua pemimpin parti berkata bahawa parti mereka menyokong Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dua RUU yang diluluskan dan sudah dibentangkan itu adalah, berkaitan dengan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah dan penyerahan kuasa Pengurusan Sumber Gas.
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau bersama ADUNnya menyokong penuh RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023 yang dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga DUN Sabah pada 10 Januari 2023.
"Ini kerana, ianya selaras dengan perjuangan Warisan untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
DUN Sabah | Dua usul RUU penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas lulus
"Bagaimanapun, ketidakhadiran kami dalam persidangan DUN ini adalah kerana, terdapat keperluan secepat mungkin untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diwujudkan bagi menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah sesuai dengan perbincangan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar berkata, beberapa ahlinya tidak dapat menghadiri persidangan itu kerana komitmen mereka di Kuala Lumpur.
"Saya yakin dan percaya melalui kerajaan perpaduan ini mampu meredakan suhu politik dan seterusnya menstabilkan keadaan politik Sabah sekarang.
"Saya juga berharap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati terbuka saranan daripada Perdana Menteri demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah," katanya.
#Hajiji Noor #Warisan #UMNO #Bung Moktar
;