PUTRAJAYA: Sebanyak 22 daripada 42 laporan kes kematian yang dikaitkan dengan kesan mudarat susulan imunisasi (AEFI) dalam kalangan penerima vaksin dos penggalak tidak mempunyai kaitan dengan pelalian berkenaan.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, baki 20 laporan AEFI masih lagi dalam siasatan.

"Yang terkini daripada 42 laporan itu, sebanyak 22 kes sudah dinilai dan 20 lagi masih menunggu siasatan.

"Daripada 22 kes itu, hasil penilaian Jawatankuasa Farmakovigilans didapati tidak ada hubung kait dengan vaksin yang menyebabkan kematian," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, Dr Roshayati berharap semua pihak membaca dan memahami sepenuuhnya kenyataan diberikannya berhubung itu itu sebelum ini bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

"Jika ia (tidak membaca sepenuhnya kenyataan) berlaku, ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat bahawa pengambilan vaksin membawa kepada kematian," katanya.

Katanya, laporan kes terbabit hanya akan didedahkan selepas siasatan lengkap.