MALAYSIA

Aerotrain KLIA beroperasi seperti dirancang, gangguan awal tidak timbulkan risiko keselamatan - MAHB

Astro Awani 02/02/2026 | 03:30 MYT
MAHB dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, penilaian bebas itu memaklumkan bahawa isu-isu berkenaan tidak menimbulkan sebarang risiko keselamatan. - Alstom
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan, penilai rel bebas yang menjalankan semakan ke atas sistem Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang mengesahkan sistem itu berfungsi seperti yang direka, dengan gangguan perkhidmatan sejak pentauliahan disifatkan sebagai lazim pada peringkat awal operasi sistem rel yang kompleks.

MAHB dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, penilaian bebas itu memaklumkan bahawa isu-isu berkenaan tidak menimbulkan sebarang risiko keselamatan.

Penilaian bebas turut memaklumkan, ia boleh ditangani secara berkesan melalui kawalan kejuruteraan yang berstruktur, pemantauan berterusan serta amalan penyelenggaraan yang berdisiplin.

Sejak pelaksanaan Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) pada 15 Nov 2025, operasi Aerotrain dilaporkan kekal stabil, dengan Ketersediaan Perkhidmatan Operasi meningkat kepada 100 peratus pada Disember 2025 berbanding 98.67 peratus pada Julai 2025, sekali gus mencerminkan prestasi sistem yang kukuh walaupun kerja-kerja pemeriksaan, pengujian dan pengesahan masih dijalankan.

Penilaian bebas itu mengenal pasti dua sistem kritikal yang mempunyai pengaruh langsung terhadap kebolehpercayaan tren, ketersediaan perkhidmatan dan prestasi pemulihan, iaitu sistem bekalan kuasa dan tren (rolling stock).

Bagi sistem bekalan kuasa, MAHB berkata walaupun reka bentuk keseluruhan serta sistem perlindungan didapati mencukupi dan secara amnya beroperasi seperti yang dirancang, beberapa aspek dikenal pasti untuk diberi tumpuan berterusan bagi memperkukuh kebolehpercayaan jangka panjang, termasuk kualiti pemasangan, pemantauan keadaan rel kuasa serta kejelasan peranan operasi.

Selain itu, penekanan khusus turut diberikan kepada peranti pengumpul arus pada tren, yang memainkan peranan penting dalam kesinambungan daya tarikan dan kestabilan perkhidmatan berikutan interaksinya yang rapat dengan rel kuasa.

Menurut MAHB, CAP dilaksanakan menerusi aliran kerja bersepadu merangkumi pemeriksaan dan pembaikan, pengujian serta pengesahan sistem, selain operasi percubaan. Aktiviti pemeriksaan dan pembaikan di seluruh sistem Aerotrain telah diselesaikan, dengan program kini berada pada peringkat akhir bagi menutup baki tindakan pembaikan yang dikenal pasti semasa pemeriksaan menyeluruh.

Pengujian bersasar ke atas sistem kritikal termasuk komunikasi, Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA) serta sistem kuasa turut dijalankan bagi mengesahkan prestasi selepas kerja pembaikan. Operasi percubaan yang dilaksanakan dari 16 hingga 24 Dis 2025 meliputi 18 kes ujian terancang berkaitan bekalan kuasa, antara muka kenderaan dan isyarat, serta sistem penggera kebakaran.

Kata MAHB, penemuan daripada latihan ini telah didokumenkan dan tindakan penambahbaikan yang disasarkan kini sedang dilaksanakan.

"Sepanjang tempoh CAP, waktu kerja kejuruteraan pada awalnya dirancang dari 9 malam hingga 7 pagi, namun dipendekkan kepada 11 malam hingga 7 pagi bagi menampung keperluan musim perayaan dan cuti sekolah.

"Hasil penambahbaikan dalam penjujukan kerja dan penempatan sumber, tempoh waktu kerja yang dipendekkan itu kini dikekalkan sementara aktiviti CAP diteruskan," katanya.

Sementara itu, MAHB akan terus melaksanakan baki langkah CAP secara terselaras dan berkadar, disokong oleh pemantauan berterusan serta pengawasan bebas, bagi terus memperkukuh kebolehpercayaan system dan mengekalkan operasi Aerotrain yang konsisten di KLIA.



#MAHB #Sepang #sistem aerotrain #Pelan Tindakan Komprehensif CAP