Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

Aerotrain KLIA tergendala akibat gangguan kuasa sementara

Farhan Hakimi 15/10/2025 | 14:32 MYT
Ujar MAHB lagi, perkhidmatan bagi salah satu aerotrain telah dipulihkan pada jam 9.27 malam dan kini kembali beroperasi, manakala kerja-kerja pembaikan bagi tren kedua masih diteruskan.
KUALA LUMPUR: Kedua-dua aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami gangguan bekalan kuasa sementara yang menyebabkan gangguan perkhidmatan sekitar jam 8.30 malam hari ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memaklumkan bahawa prosedur pemulihan penumpang telah diaktifkan serta-merta dan pasukan tindak balas lapangan terbang telah dikerahkan untuk membantu penumpang yang berada di dalam tren ke terminal.

Ujar MAHB lagi, perkhidmatan bagi salah satu aerotrain telah dipulihkan pada jam 9.27 malam dan kini kembali beroperasi, manakala kerja-kerja pembaikan bagi tren kedua masih diteruskan.

"Pengaturan pengangkutan alternatif turut diaktifkan segera bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang antara terminal dan bangunan satelit.

"KLIA sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan amat menghargai kesabaran serta kefahaman semua penumpang sepanjang proses pemulihan ini," tambah kenyataan itu.


#MAHB #KLIA #aerotrain #Gangguan Perkhidmatan #bekalan kuasa