MALAYSIA

AGC arah kes kematian pelatih Palapes diklasifikasikan sebagai membunuh

Umavathi Ramayah 02/12/2025 | 11:13 MYT
Kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan sebagai membunuh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, diklasifikasikan sebagai membunuh.

AGC berkata, keputusan itu dibuat selepas polis membentangkan hasil laporan siasatan kematian Allahyarham dalam sesi taklimat pada Selasa.

"Setelah ditaklimatkan dan meneliti hasil laporan tersebut, AGC mengarahkan kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar, berkata susulan arahan itu, polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis akan meneruskan siasatan untuk mengenal pasti individu yang terlibat sebelum kertas siasatan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan serta menghormati prinsip keadilan.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.

Jenazah Allahyarham dikebumikan keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada awalnya, kematian Syamsul Haris diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Namun, pada 19 Ogos lalu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun memohon penggalian semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan bedah siasat kedua dilaksanakan pada akhir Ogos lalu.

Susulan itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan kes berkenaan.

Minggu lalu, peguam keluarga mangsa mendedahkan hasil bedah siasat kedua mendapati kematian Allahyarham berpunca daripada kecederaan pada leher, selain beberapa kecederaan lain termasuk melecet yang ditemui pada jasad Allahyarham semasa proses bedah siasat pada 30 Ogos lalu.


#Syamsul Haris Shamsudin #Peguam Negara #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #membunuh