MALAYSIA

AGC sahkan terima laporan penuh siasatan kes Ismail Sabri

Bernama 14/09/2025 | 10:30 MYT
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan penuh siasatan itu diterima pada 12 Sept lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan menerima laporan penuh siasatan berhubung sejumlah wang tunai yang disita, dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan setiausaha politik beliau Datuk Anuar Mohd Yunus.


Ringkasan AI
  • AGC sahkan terima laporan penuh siasatan SPRM berhubung wang tunai disita yang dikaitkan dengan bekas PM Ismail Sabri dan setiausaha politiknya.
  • SPRM sudah ambil tindakan pelucuthakan tanpa pendakwaan, menjadikan hampir RM170 juta wang tunai kini milik kerajaan selepas Ismail Sabri tidak mencabar permohonan tersebut.
  • AGC akan teliti laporan sebelum buat keputusan pendakwaan, menegaskan proses dilakukan secara bebas, telus dan mengikut undang-undang.


AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan penuh siasatan itu diterima pada 12 Sept lepas.

"Tindakan pelucuthakan harta kepada Kerajaan Malaysia tanpa pendakwaan terhadap wang tunai itu telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Jabatan ini menegaskan siasatan dan proses pelucuthakan harta dan pertuduhan jenayah adalah dua aspek yang berbeza. Sehubungan itu, walaupun tindakan pelucuthakan harta telah dimulakan SPRM, jabatan ini akan meneliti secara menyeluruh laporan penuh siasatan itu," menurut kenyataan itu.

Sejumlah wang tunai berkenaan disita SPRM pada 20 Feb lepas.

AGC memaklumkan proses penelitian laporan penuh siasatan itu akan dibuat daripada pelbagai sudut termasuk aspek keterangan dan elemen-elemen pembuktian kes sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dapat dibuat.

Menurut kenyataan itu, sebarang keputusan kes akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan itu selesai.

"Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara bebas, telus dan selaras dengan peruntukan undang-undang," menurut kenyataan itu.

Pada 9 Sept, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata wang tunai berjumlah hampir RM170 juta yang disita SPRM dan dipercayai milik Ismail Sabri kini secara rasmi menjadi hak kerajaan serta telah dimasukkan ke akaun kerajaan.

Azam berkata perkara itu susulan keputusan responden iaitu Ismail Sabri yang tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berkenaan.

-- BERNAMA


#Jabatan Peguam Negara #ismail sabri yaakob #SPRM #Anuar Mohd Yunus #wang tunai #terkini