Agenda Antirasuah: Malaysia kekal berperanan selepas serahkan tugas sebagai Presiden AoP IACA - Azalina

Azalina mempengerusikan ketika mempengerusikan Sesi ke-14 Perhimpunan Pihak-pihak (AoP) dalam Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) di Vienna. - IACA
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus berperanan dalam agenda anti-rasuah diperingkat antarabangsa, walaupun tempoh lantikan sebagai Presiden Perhimpunan Pihak-pihak (AoP) dalam Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) bagi sesi ke-13 tahun 2025 tamat pada 4 November lalu.
Ringkasan AI
- Malaysia akan terus berperanan dalam agenda anti-rasuah di peringkat antarabangsa walaupun tempoh lantikan sebagai Presiden AoP dalam IACA telah tamat pada 4 November lalu.
- Menteri Azalina Othman Said menyatakan Malaysia masih mempunyai posisi strategik untuk menyumbang kepada agenda integriti global dan membanteras rasuah.
- Malaysia telah menjadi Presiden AoP IACA untuk kali pertama sejak penubuhannya pada tahun 2025 dengan sumbangan dana sebanyak EUR1,451,698.97 dari tahun 2012 hingga 2024.
"Malaysia akan terus beri kerjasama dan komitmen. Tan Sri (Azam) mewakili Malaysia sebagai ahli Lembaga Pentadbir yang menentu segala hala tuju IACA. Peranan Malaysia bukan hanya sekadar sebagai presien AoP pada 2025.
“Saya percaya peranan dan komitmen Malaysia sebagai ahli IACA sejak 2012, telah diserlahkan melalui pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam Lembaga Pentadbir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Azalina, sepanjang tempoh kepengerusian Malaysia, dua acara utama telah dianjurkan iaitu Regional Summer Academy pada Julai lalu, dan International Conference on Governance and Integrity 2025 pada Oktober di ibu negara.
Menurutnya, kedua-duanya menjadi platform penting untuk memupuk kerjasama dan perkongsian ilmu antara negara-negara anggota serta menonjolkan Malaysia sebagai hab pendidikan dan latihan antirasuah di rantau ini.
Ujarnya lagi, sebagai presiden, Malaysia memberi tumpuan kepada lima keutamaan; memperkasakan integriti dalam tadbir urus, menggalakkan kerjasama Selatan Global, memajukan integriti digital dan teknologi, memupuk kesedaran integriti dalam kalangan belia, dan memperkukuh kerjasama rentas sempadan.
Dalam temu bual sama, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan platform antarabangsa seperti IACA adalah penting untuk mengetengahkan amalan terbaik negara dalam melawan rasuah.
"Saya sebagai ahli Lembaga Pentadbir akan bersama-sama dengan IACA untuk anjurkan pelbagai program yang melibatkan pelbagai negara. Platform ini juga digunakan untuk memberi input dan pandangan kita.
“Dalam perbincangan, IACA sudah ada pelbagai program yang diatur untuk tahun 2026. Presiden baharu IACA akan kemaskini, dan SPRM akan mengikut semua program yang diadakan untuk sampaikan keberkesanan penguatkuasaan membanteras rasuah di Malaysia. Contohnya, reformasi undang-undang yang diterajui oleh Datuk Seri Azalina,” ujarnya.
Malaysia menjadi Presiden AoP IACA untuk kali pertama sejak organisasi antara kerajaan itu ditubuhkan pada tahun 2025. Sejak menjadi negara anggota pada 2012 hingga 2024, Malaysia telah menyumbang dana kepada IACA dengan jumlah keseluruhan EUR1,451,698.97.
IACA dengan keanggotaan lebih 80 negara dan organisasi antarabangsa, berperanan memperkukuh pendidikan, latihan dan penyelidikan dalam pencegahan rasuah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


