KUALA LUMPUR: Agenda tenaga bersih memerlukan usaha bersama daripada semua pihak berkepentingan -- penggubal dasar, peserta industri, ahli akademik dan pelabur -- dengan satu matlamat untuk memacu inisiatif tenaga bersih negara dan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia, menurut Khazanah Nasional Bhd.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, penambahbaikan dasar dan penyelesaian yang didorong oleh sektor swasta boleh bergerak seiring untuk menarik pelaburan dalam empat bidang tumpuan utama yang dikenal pasti dalam Laporan Komuniti.

"Menerusi langkah memanfaatkan lagi inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG), Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab tenaga bersih di rantau ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Khazanah, di sini, pada Selasa.

Menurut Khazanah, Laporan Komuniti bertajuk 'Mobilizing Investments for Clean Energy in Malaysia' itu adalah sebahagian daripada inisiatif Forum Ekonomi Dunia (WEF) untuk menggerakkan pelaburan tenaga bersih dalam ekonomi pesat membangun.

Laporan Komuniti itu mengetengahkan cadangan untuk meningkatkan persekitaran kawal selia dan dasar, serta penyelesaian bukan dasar bagi memudahkan pelaburan tenaga bersih di Malaysia, dari perspektif kumpulan kerja awam-swasta meliputi pihak berkepentingan dalam industri berkaitan, sektor kewangan dan akademik di Malaysia dan antarabangsa, jelasnya.

Khazanah memaklumkan, kumpulan kerja awam-swasta itu telah mengenal pasti empat bidang tumpuan utama pelaburan khusus untuk Malaysia iaitu tenaga solar dan penyimpanan; projek bebas arang batu; transmisi dan pengedaran; serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Matlamat menyeluruh adalah untuk menyokong sasaran bersih sifar negara di samping mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu di samping membolehkan kemajuan inisiatif yang diumumkan di bawah pelbagai dasar dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menurut dana kekayaan negara itu.

Laporan Komuniti itu telah dilancarkan oleh Khazanah dan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI dengan kerjasama WEF yang disokong oleh firma perkhidmatan profesional, Accenture.

Laporan itu boleh dimuat turun menerusi https://www3.weforum.org/docs/WEF_Mobilizing_Investments_for_Clean_Energy_in_Malaysia_2023.pdf

-- BERNAMA