MALAYSIA

AGM pertama Majlis Media Malaysia lulus tujuh usul

Yasmin Natasha 07/11/2025 | 14:22 MYT
Majlis Media Malaysia (MMM) lulus tujuh usul utama untuk perkukuh tadbir urus dan etika kewartawanan dalam Mesyuarat Agung Pertama.
KUALA LUMPUR: Majlis Media Malaysia (MMM) meluluskan tujuh usul utama bagi memperkukuh kerangka tadbir urus dan etika kewartawanan negara dalam Mesyuarat Agung Pertama.

Antara usul yang diluluskan termasuk penggubalan serta penggunapakaian Kod Tatalaku Media serta Mekanisme Ketidakpuasan Hati, yang menjadi asas kepada proses penyeliaan aduan awam dan pematuhan etika dalam pelaporan berita.

Sehubungan itu, MMM turut memilih 12 anggota Lembaga Majlis, merangkumi wakil organisasi media, pengamal media dan badan berkaitan industri.

“Antara pengamal media yang dilantik adalah Premesh Chandran (Malaysiakini), Farrah Naz Karim (NSTP), Esther Ng (The Star Media Group), Phyllis Wong Yang Yong (Borneo Post), Fauzi Ishak (GKMM) ,Ishak Abdillah (Kelab Wartawan Terengganu), Mariah Doksil (Sabah Journalist Association), Adie Suri Zulkefli (Kelab Media Elit Kedah), Zaharom Naim (Allianz Centre for Governance), Terence Ooi (Wikiimpact), Cynthia Lorraine Silva (CIJ) dan Mediha Mahmood (Content Forum),” menurut kenyataan MMM.

Lembaga Majlis yang baharu dilantik itu turut bersidang serta bersetuju menamakan Premesh Chandran sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga.

Selain itu, empat anggota tambahan turut dilantik mengikut Seksyen 8(1)(f) Akta, iaitu Kuik Cheng Kang (MCIL), Muthameez Manan (Malaysia Tamil Media Association), Ashwad Ismail (Astro AWANI) dan Teh Athira Yusof (NUJ).

Pelaksanaan usul-usul itu dijangka memperkukuh keupayaan Majlis Media Malaysia dalam menetapkan standard pelaporan yang lebih beretika, meningkatkan kebebasan media serta mewujudkan saluran penyelesaian aduan yang lebih telus.

AGM berkenaan menandakan langkah awal ke arah pembinaan ekosistem media yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan diyakini masyarakat.


#Majlis Media Malaysia MMM #tujuh usul utama #kewartawanan #etika #tadbir urus