KANGAR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah akan merasmikan majlis pembukaan sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat nasional yang dijadual berlangsung di Waterfront, Kuching, Sarawak pada 21 Mei.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sambutan Minggu Perpaduan peringkat nasional pada tahun ini akan diadakan di Kuching dan ia akan disambut secara serentak di seluruh negara bermula dari 20 hingga 28 Mei.

"Kita berharap sambutan ini dapat diadakan setiap tahun dalam usaha untuk memupuk semangat perpaduan rakyat negeri ini berteraskan konsep Masyarakat Madani," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas melakukan perjumpaan dengan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli di Pejabat Menteri Besar Perlis.

Aaron berkata sambutan Minggu Perpaduan Negara adalah berlandaskan tema 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian' akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti ekspresi kasih, persahabatan dan persaudaraan yang akan memperkukuh semangat perpaduan.

Sementara itu Mohd Shukri berkata sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat negeri Perlis akan diadakan di Dataran Dato Sheikh Ahmad, Kangar pada 27 dan 29 Mei.

"Majlis penutup akan disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang akan diserikan dengan pelbagai acara bagi menyemarakkan semangat perpaduan antara kaum," katanya.

-- BERNAMA