Agong batal dua acara sempena Sambutan Hari Keputeraan

Sinar Harian
Ogos 30, 2018 14:07 MYT
Dalam satu kenyataan, Baginda menitahkan peruntukan perbelanjaan kedua-dua acara rasmi berkenaan dikembalikan semula kepada pihak kerajaan dengan disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia. - Gambar fail
Yang di- Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menitahkan dua acara rasmi sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda iaitu Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja yang akan diadakan pada 9 September ini di Istana Negara dibatalkan.
Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, Baginda menitahkan peruntukan perbelanjaan kedua-dua acara rasmi berkenaan dikembalikan semula kepada pihak kerajaan dengan disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia.
Katanya, bagi acara-acara rasmi lain sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda tetap diteruskan seperti yang telah dirancang.
"Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri yang merancang acara-acara rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda bagi tahun 2018," katanya, hari ini.
Sebelum ini, Baginda bertitah perkenan peruntukan gaji dan emolumen Baginda dikurangkan 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahannya sehingga tahun 2021.
Perkara tersebut dititahkan Baginda kerana prihatin kepada tahap hutang negara dan keadaan ekonomi negara.
#ekonomi #Jamuan Teh Diraja #kerajaan #menteri #Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda #Sultan Muhammad V #Tabung Harapan Malaysia #Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz #Yang di-Pertuan Agong