Agong berangkat ke Abu Dhabi untuk beri penghormatan terakhir

Bernama
Mei 15, 2022 09:58 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Abu Dhabi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan di Kompleks Bunga Raya KLIA hari ini. - Foto BERNAMA
SEPANG: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memberi penghormatan terakhir kepada Presiden UAE dan juga Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, yang mangkat Jumaat lepas.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada kira-kira 4.20 petang.
Lawatan khas Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi itu turut diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Ketua Protokol Wisma Putra Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli.
Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria hadir mengucapkan selamat berangkat kepada baginda.
Sebelum berangkat, Seri Paduka melalui kawalan kehormat setempat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota.
BACA: Presiden UAE meninggal dunia: Agong berkenan kibar bendera peribadi separuh tiang lima hari
Istiadat penghormatan terakhir Almarhum dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Malaysia dan UAE juga mempunyai hubungan dua hala yang rapat dan mesra di pelbagai peringkat, termasuk kedua-dua pemimpin negara dan sesama rakyat.
Al-Sultan Abdullah sebelum ini berkenan supaya bendera peribadi Seri Paduka dikibarkan secara separuh tiang di Istana Negara selama lima hari berturut-turut bermula semalam sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Sheikh Khalifa.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Abu Dhabi #UAE #Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan #KLIA #presiden UAE