Skip to main content

Malaysia

Agong berangkat ke Majlis Sambutan 120 tahun Jabatan Audit Negara

https://www.facebook.com/photo?fbid=1644750130342935&set=pcb.1644750250342923
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara (JAN) di sini hari ini. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Advertisement

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara (JAN) di sini hari ini.

Ketibaan Seri Paduka Baginda pada 12 tengah hari disambut Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Tahun 2026 menandakan genap 120 tahun penubuhan JAN sejak ditubuhkan pada 1906.

Sepanjang perjalanan tersebut, JAN terus melaksanakan amanah sebagai institusi audit tertinggi negara dalam memastikan pengurusan kewangan awam dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti, selaras dengan prinsip tadbir urus baik.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan penandatanganan Plak 120 Tahun JAN, yang melambangkan legasi institusi itu serta kesinambungan amanahnya dalam memperkukuh akauntabiliti dan tadbir urus kewangan awam negara.

Terdahulu dalam sembah ucapan menjunjung kasih, Wan Suraya berkata JAN memainkan peranan sebagai nadi semak dan imbang negara dalam memastikan setiap sen dana awam diuruskan secara bertanggungjawab dan atas perkenan Seri Paduka Baginda, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan di Parlimen sebanyak dua kali setahun. 

"LKAN setiap tahun melaporkan mengenai penyata kewangan Persekutuan dan agensi, aktiviti kementerian, jabatan, badan berkanun Persekutuan dan pengurusan syarikat persekutuan serta aktiviti kementerian, jabatan, badan berkanun negeri dan pengurusan syarikat negeri.

"Sejajar dengan sambutan 120 Tahun JAN, kami turut melaksanakan Projek Pendigitalan Perkhidmatan JAN dalam memperkukuh pengauditan dengan memanfaatkan keupayaan teknologi data analitik, data raya serta kecerdasan buatan seterusnya menyokong pengauditan lebih komprehensif, pantas, dan responsif," katanya.

Wan Suraya berkata perkara berkenaan sekali gus mengubah landskap pengauditan sektor awam ke arah sistem yang lebih berasaskan data, telus dan beroperasi secara masa nyata.

Katanya, JAN terus melaksanakan pengauditan lebih berimpak tinggi bagi memastikan setiap dasar dan perbelanjaan wang awam benar-benar mencipta nilai untuk rakyat dan negara.

Tema sambutan 120 tahun, “Menjunjung Amanah: Audit Berkualiti, Meningkatkan Akauntabiliti”, mencerminkan komitmen berterusan JAN untuk memperkukuh kewibawaan institusi dan memastikan fungsi pengauditan terus relevan dalam mendukung tadbir urus sektor awam berintegriti dan berakauntabiliti.

Sepanjang sambutan, pelbagai program telah dilaksanakan bagi memperingati sumbangan JAN kepada negara antaranya majlis pelancaran Sambutan 120 Tahun JAN, Larian 120 Tahun JAN (Audit Run), Khutbah Jumaat Khas dimasjid terpilih seluruh negara serta Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara 2026.

Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Sultan Ibrahim berangkat meninggalkan majlis pada 1 tengah hari.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement