MALAYSIA

Agong berangkat ke Rusia untuk lawatan khas

Bernama 25/01/2026 | 06:00 MYT
Lawatan Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg adalah atas jemputan khas Presiden Rusia Vladimir Putin. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Saint Petersburg, Rusia bagi lawatan khas bermula hari ini hingga Selasa (27 Jan).

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran berserta gambar di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Lawatan Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg adalah atas jemputan khas Presiden Rusia Vladimir Putin.

Terdahulu, pesawat khas membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada 8.25 pagi.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj turut berangkat ke LTAS bagi mengucapkan selamat kepada Sultan Ibrahim.

-- BERNAMA



#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #berangkat ke Rusia #lawatan khas #terkini