Agong berangkat pulang ke tanah air, akhiri lawatan negara di Bahrain

Seri Paduka Baginda diiringi Putera Salman Hamad Al Khalifa ketika berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, Muharraq. --fotoBERNAMA
MANAMA (BAHRAIN): Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pulang ke tanah air pada Ahad, selepas mengakhiri lawatan negara tiga hari di Bahrain.
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pulang ke Malaysia selepas lawatan tiga hari di Bahrain.
- Lawatan itu menandakan hubungan diplomatik penting antara Malaysia dan Bahrain.
- Bahrain kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia di Asia Barat.
Berangkat ke lapangan terbang untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Rozainor Ramli.
Lawatan negara ke Bahrain yang bermula pada Khamis, ialah lawatan keenam dilaksanakan Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi.
Lawatan itu juga menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara pulau di Teluk Parsi itu, yang merupakan lawatan pertama seumpamanya sejak 1974.
Semasa lawatan tiga hari itu, Sultan Ibrahim diberi sambutan negara di Istana Sakhir.
Yang di-Pertuan Agong juga berkenan melawat Tugu Peringatan Syuhada', sebuah lokasi penting dalam sejarah Bahrain serta Kementerian Dalam Negeri Bahrain (Kubu Polis), dengan kedua-dua program itu telah diatur khas oleh Raja Hamad untuk seorang ketua negara buat kali pertama.
Pada Jumaat malam, Raja Hamad turut meraikan Seri Paduka Baginda pada Majlis Santapan Negeri di Istana Sakhir.
Bahrain kekal antara rakan dagang utama Malaysia di rantau Asia Barat dan merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 terbesar dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


