[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

Agong berkenan adakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan

Ernalisa Othman 02/06/2025 | 08:33 MYT
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan bertitah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Baginda berkenan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan.


Ringkasan AI
  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan mengadakan Kembara Diraja: Baginda merancang untuk menjelajah seluruh Wilayah Persekutuan bagi melihat kehidupan rakyat dan mengagihkan zakat kepada golongan miskin serta asnaf.
  • Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran bersempena Hari Keputeraan Rasmi: Kembara Diraja diumumkan semasa majlis di Istana Negara, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, barisan Menteri Kabinet, serta Raja Permaisuri Agong.
  • Kembara Diraja mirip Kembara Mahkota Johor (KMJ): Sultan Ibrahim terkenal dengan KMJ yang diperkenalkan sejak 2001, bertujuan mendekati rakyat tanpa protokol ketat dan menjadi acara tahunan di Johor.


Kembara itu akan membolehkan Baginda melihat sendiri kehidupan rakyat dan mengagihkan duit zakat kepada orang miskin dan asnaf.

“Saya menyeru kepada semua rakyat jelata, berikanlah saya hadiah perpaduan yang kukuh dan berkekalan.

“Selepas ini, saya akan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan untuk saya melihat sendiri kehidupan rakyat, dan mengagihkan duit zakat kepada orang miskin dan asnaf,” titah Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini pada Isnin.

Turut berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta barisan menteri Kabinet.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim sinonim dengan Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diilhamkan Seri Paduka Baginda pada 2001 sewaktu menjadi Tunku Mahkota Johor.

KMJ ialah cara keluarga Diraja Johor mencemar duli bertemu rakyat dengan mengetepikan soal protokol yang ketat, bertujuan menyelami denyut nadi rakyat jelata dan merupakan satu daripada acara utama tahunan di negeri itu.

Dalam masa yang sama, Sultan Ibrahim juga menzahirkan rasa tahniah kepada kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN, baru-baru ini kepada kerajaan yang berjaya menganjurkannya.

“Ini menjadi bukti keupayaan kepimpinan negara dalam mengeratkan kerjasama serantau dan antarabangsa.

“Walaupun ada pihak yang memandang rendah keupayaan Malaysia, dengan usaha gigih dan semangat kerjasama, terutamanya oleh penjawat awam, segala cabaran dan rintangan telah berjaya diharungi," titah Baginda lagi.












#Kembara Diraja #seluruh Wilayah Persekutuan #Sultan Ibrahim #Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong #terkini