NATIONAL

Agong berkenan adakan Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja 16 Jun ini

Astro Awani 09/06/2021 | 07:45 MYT
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh Baginda. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun ini.

Dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin hari ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan menganjurkan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, di ibu negara.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh Baginda berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.


BACA: Agong perkenan isytihar darurat hingga 1 Ogos

Istana Negara

“Perbincangan khas ini adalah kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari, 2019,” demikian menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara, hari ini.

Jelas Ahmad Fadil, kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dianjurkan adalah pada 25 Oktober, 2020 di Istana Negara.

Pada 12 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik COVID-19 di negara ini.


#menghadap Agong #Al-Sultan Abdullah #Datuk Ahmad Fadillah Shamsuddin #Ordinan Darurat #COVID-19 #Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu