KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara sempena lawatan negara Raja Jordan Raja Abdullah II ke Malaysia selama dua hari bermula semalam.
Sultan Ibrahim berkenan menyambut keberangkatan tiba Raja Abdullah II pada 9.50 pagi.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta tetamu kehormat.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan Ayman Safadi serta pegawai kanan dari Istana Diraja Hasyimiah dan Kerajaan Jordan.
Istiadat sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten (DOM) Mohd Fahmy Harun, diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja di Dataran Kawad Istana Negara.
Raja Abdullah II kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada lima pegawai dan 89 anggota lain-lain pangkat daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia diketuai Mejar Muhammad Firdaus Mat Hayin
Selesai istiadat sambutan, Sultan Ibrahim berkenan mengadakan pertemuan empat mata dengan Raja Abdullah II sebelum berangkat ke Dewan Santapan Utama bagi Majlis Jamuan Negara untuk meraikan keberangkatan Raja Jordan itu ke Malaysia.
Raja Abdullah II tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.13 malam semalam untuk lawatan negara atas undangan Sultan Ibrahim.
Ini merupakan lawatan negara kali kedua Raja Abdullah II ke Malaysia sejak Mei 2008 malah lawatan negara ini berlangsung ketika Malaysia dan Jordan meraikan lebih enam dekad hubungan diplomatik yang mula dijalinkan pada 1965, terutamanya dalam bidang pendidikan.
Pada tahun ini, seramai 1,636 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Jordan, manakala lebih 1,490 pelajar Jordan menuntut di institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Selain hubungan antara rakyat yang telah lama terjalin, Malaysia dan Jordan turut berkongsi komitmen untuk memelihara keamanan, keadilan dan memastikan kestabilan yang berkekalan di rantau Asia Barat, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak sah rakyat Palestin.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat sebanyak 15.2 peratus berbanding 2024 dan terus berkembang sebanyak 8.0 peratus lagi kepada RM740.7 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
-- BERNAMA