KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara, petang ini.

Menerusi catatan di Facebook rasmi Istana Negara, sesi menghadap bermula 5 petang itu adalah yang pertama kali buat Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis lepas (24 Nov).

Pada 24 Nov lepas, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada Ahli Parlimen Tambun itu.

Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pada hari sama, bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

-- BERNAMA