KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan merasmikan Menara Kuantan 188 yang merupakan mercu baharu Kuantan yang diadakan serentak dengan perasmian Jambatan Putra, iaitu jambatan kedua Tanjung Lumpur di sini.

Seri Paduka Baginda menyempurnakan perasmian berkenaan menerusi rakaman video yang dimainkan di skrin gergasi pada majlis yang berlangsung di perkarangan Menara Kuantan 188 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang.

Menerusi titah Diraja, Al-Sultan Abdullah menzahirkan kesyukuran kepada Allah kerana dapat menyaksikan peristiwa penting dalam sejarah Pahang dan mengingatkan rakyat supaya terus mematuhi normal baharu dalam situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara.

"Izinkan Beta menasihatkan sekalian rakyat jelata untuk sentiasa mengamalkan normal baharu dan mematuhi saranan kerajaan dalam kita menghadapi pandemik COVIF-19 yang sedang melanda negara ketika ini dan sentiasa mengamalkan norma baharu.

"Beta dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sentiasa berdoa semoga rakyat akan dihindari daripada sebarang musibah dan berada dalam perlindungan Allah," titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah pada majlis itu, diwakili anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang turut berkenan mencemar duli berangkat ke dek pemerhatian yang menawarkan pemandangan 360 darjah bandaraya Kuantan daripada ketinggian 92 meter (m).

Pada majlis itu, Tengku Hassanal bersama kekanda dan adinda baginda turut berkenan menyaksikan perarakan 11 bot berhias oleh agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyusuri Sungai Kuantan, yang terletak bersebelahan Menara Kuantan 188.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Baidzawi Che Mat dan barisan pentadbiran kerajaan negeri.

Menara yang terletak di tepi sungai Kuantan itu merupakan sebahagian daripada siri pembangunan bagi menambah baik Kuantan Waterfront yang sedang dibangunkan sebagai destinasi pelancongan di daerah ini, sekali gus berupaya membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Selain Menara Kuantan 188, komponen yang termasuk dalam projek pembangunan Kuantan Waterfront ialah Kuantan Esplanade, Mercu Junjung Duli, Laman Teruntum dan Serambi Teruntum sebagai pusat sehenti kepada produk perusahaan kecil dan sederhana keluaran usahawan Pahang.

Sementara itu, Baidzawi menerusi kenyataan media, berkata pembangunan projek Kuantan Waterfront merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan ECERDC dalam merancakkan sektor pelancongan dan meningkatkan minat pelabur untuk mewujudkan aktiviti limpahan sosioekonomi untuk manfaat penduduk setempat.

"ECERDC akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan pihak berkaitan dalam memastikan projek dan aktiviti berimpak tinggi yang dilaksanakan membawa impak positif serta pertumbuhan yang seimbang dan inklusif kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, pembinaan Jambatan Putra sepanjang 451m merupakan jambatan kedua merentangi Sungai Kuantan iaitu insiatif membantu mengurangkan kesesakan di jambatan sedia ada yang menghubungkan Tanjung Lumpur ke bandaraya Kuantan.

-- BERNAMA