KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 1.30 tengah hari, disambut kira-kira 500 jemaah termasuk orang awam.

Sejurus ketibaan, Al-Sultan Abdullah kemudian menyertai jemaah untuk mendengar khutbah bertajuk "Dirgahayu Tuanku Jasa Tuanku Tersemat di Kalbu" yang disampaikan Pegawai Agama Istana Datuk Munir Md Salleh.

Khutbah berkenaan menyentuh mengenai Institusi Yang di-Pertuan Agong serta jasa dan sumbangan baginda terhadap rakyat jelata dan negara sepanjang lima tahun pemerintahan.

"Sepanjang bersemayam atas takhta kerajaan Malaysia, Tuanku telah menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, termasuk kemelut politik yang melanda tanah air," kata Munir.

Beliau berkata justeru, sebagai warganegara rakyat hendaklah bersyukur kerana Seri Paduka dianugerahkan taufik dan hidayah, kudrat serta keafiatan daripada Allah SWT untuk melaksanakan amanah besar bagi memayungi Malaysia.

"Selama hampir lima tahun, begitu banyak jasa dan sumbangan telah baginda curahkan yang pastinya menyentuh jiwa dan sanubari kita, para rakyat jelata di seluruh pelosok negara," katanya.

Munir berkata rakyat juga harus memahami bahawa Institusi Yang di-Pertuan Agong merupakan satu mercu tanda yang melindungi Perlembagaan Persekutuan serta pelindung kepada rakyat.

Mengakhiri khutbah, beliau berkata ketua negara yang bersifat adil, rahmah dan berkebajikan ialahsuatu nikmat dan anugerah besar daripada Allah SWT kepada sesuatu umat dan negara.

Selesai solat, Seri Paduka berkenan beramah mesra dan bersalaman dengan beberapa jemaah.

-- BERNAMA