MALAYSIA

Agong berkenan terima menghadap SUK Johor baharu

Bernama 08/07/2025 | 06:49 MYT
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Datuk Asman Shah Abd Rahman. - Gambar/ FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Setiausaha Kerajaan Johor yang baharu Datuk Asman Shah Abd Rahman.


Ringkasan AI
  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerima menghadap Setiausaha Kerajaan Johor yang baharu, Datuk Asman Shah Abd Rahman, dalam pertemuan selama 45 minit di Istana Bukit Serene.
  • Asman Shah menggantikan Tan Sri Dr Azmi Rohani yang kini menjawat jawatan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, dan beliau telah mengangkat sumpah jawatan serta taat setia semalam.
  • Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Chiba, Jepun, dan pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Bandar Pasir Gudang dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.


Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 45 minit itu turut dihadiri Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dan Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad.

Asman Shah mengangkat sumpah jawatan dan sumpah taat setia sebagai Setiausaha Kerajaan Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, semalam.

Beliau mengambil alih jawatan berkenaan daripada Tan Sri Dr Azmi Rohani yang dilantik sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara pada 1 Julai lepas.

Asman Shah yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Chiba, Jepun, sebelum ini pernah menyandang jawatan seperti Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Bandar Pasir Gudang, Pengarah Tourism Johor, serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.

-- BERNAMA



#Yang di-Pertuan Agong #SUK Johor #Asman Shah Abd Rahman