Skip to main content

Malaysia

Agong hulur kurniaan peribadi bantu mangsa kebakaran di Sandakan

FENOMENA CUACA PANAS: SULTAN IBRAHIM NASIHAT RAKYAT AMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA  KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah menasihatkan rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Bantuan tersebut akan diagihkan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) sebagai usaha meringankan kesusahan keluarga yang terlibat dalam insiden berkenaan.

KUALA LUMPUR: Nasib mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan Sabah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim apabila Seri Paduka Baginda berkenan menyalurkan kurniaan peribadi bagi membantu mangsa yang terjejas.

Bantuan tersebut akan diagihkan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) sebagai usaha meringankan kesusahan keluarga yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Advertisement

Seri Paduka Baginda turut menitahkan agar yayasan itu berhubung dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan proses penyaluran bantuan berjalan lancar dan sampai kepada penerima yang disasarkan.

Menurut kenyataan Royal Press Office pada Rabu, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi berkenaan.

“Ramai yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi ini. Saya mendoakan agar mangsa kebakaran diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang menimpa mereka,” titah Seri Paduka Baginda.

Pada Ahad, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.

Sebanyak 1,912 mangsa daripada 385 keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran itu ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan mangsa ditempatkan di PPS Dewan Program Perumahan Rakyat Batu Sapi, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Dewan SK Kampung Bahagia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, Dewan Sibuga, dan SK Karamunting yang dibuka pada Ahad lepas.

"Dua lagi PPS telah dibuka pada Isnin, iaitu Dewan Serbaguna Warga Tua dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hwa. Trend mangsa yang ditempatkan di PPS pagi ini meningkat," menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan berkenaan memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

 

 

Must Watch Video