[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Agong kurnia surat cara pelantikan Ketua Hakim Negara kepada Wan Ahmad Farid

Bernama 28/07/2025 | 02:20 MYT
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Wan Ahmad Farid di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada Isnin. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Negara, di sini.

Wan Ahmad Farid, 62, turut mengangkat serta melafaz sumpah taat setia jawatan pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Beliau yang sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, turut dikurniakan Suratcara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, diikuti Suratcara Pelantikan kepada lapan Hakim Mahkamah Rayuan serta 14 Hakim Mahkamah Tinggi.

Wan Ahmad Farid dilantik Ketua Hakim Negara ke-17 bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lepas.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Abu Bakar, 63, pula mengisi kekosongan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan susulan persaraan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pada 3 Julai, manakala Azizah, 63, menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersara pada 24 Julai.

Selain kerjaya perundangan, anak jati Kuala Terengganu itu juga aktif dalam bidang pentadbiran dan politik dengan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008 sebelum dilantik Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024 dan pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas), serta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 3).

-- BERNAMA

#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Ketua Hakim Negara #Wan Ahmad Farid Wan Salleh #surat cara pelantikan