Agong nasihat Kerajaan Sarawak berfungsi seperti biasa di bawah Ordinan Darurat 2021

Astro Awani
Mei 25, 2021 08:03 MYT
Abang Johari mengetuai beberapa para pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadap Agong secara maya, hari ini. - Foto Pejabat Ketua Menteri Sarawak
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan Kerajaan Negeri Sarawak agar berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
Perkara berkenaan dimaklumkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak menerusi satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menghadap Al-Sultan Abdullah secara maya berhubung tempoh DUN dan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, hari ini.
Ia turut disertai, tiga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Professor Dr Sim Kui Hian dan Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke China Datuk Seri Tiong King Sing.
"Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, YAB Ketua Menteri telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud setelah menerima nasihat daripada pihak Peguam Negara, SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia," jelas kenyataan itu.
Kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 susulan Pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021.
#Yang di-Pertuan Agong #pilihan raya #Sarawak #bubar #Abang Johari #Taib Mahmud #Abdul Taib Mahmud #Perdana Menteri #Kementerian Kesihatan #Angkatan Tentera Malaysia #Suruhanjaya Pilihan Raya #Malaysia