KUALA LUMPUR:Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 dijadualkan akan diwartakan pada 23 Oktober ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ia adalah selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, akta berkenaan telah pun diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos 2020, dan Dewan Negara pada 22 September 2020.

“Akta ini akan berkuat kuasa selama dua tahun dari tarikh penyiaran pada 23 Oktober dalam Warta Kerajaan, atau sebagaimana tarikh dan tempoh kuat kuasa yang telah diperuntukkan di mana-mana Bahagian yang berkaitan dalam Akta ini.

“Pelaksanaan ini secara keseluruhannya dapat memberi manfaat kepada setiap individu dan syarikat yang terkesan dari aspek ekonomi akibat penularan COVID-19,” katanya lagi.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, pihak-pihak berkontrak yang bertikai boleh menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan undang-undang di mahkamah melalui perkhidmatan pengantaraan Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Perkhidmatan pengantaraan yang akan dijalankan melalui PMC-19, katanya lagi, adalah terbuka kepada semua pihak dengan nilai pertikaian RM300,000 ke bawah.

“Kerajaan juga akan membiayai kos perkhidmatan pengantaraan kepada golongan B40 dan M40 serta perusahaan bersaiz mikro dan kecil. Sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan pengantaraan ini boleh diajukan melalui [email protected],” kata Takiyuddin.