PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan berkuat kuasa serta merta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Menurut kenyataan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bersama dengan Ketua Pengarah BHEUU JPM Zamri Misman hari ini telah menghadap dan menyembah maklum Sultan Ibrahim tentang cadangan kerajaan mengenai penubuhan RCI berkenaan.

"Seri Paduka Baginda juga memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali sebagai Timbalan Pengerusi," kata BHEUU.

Lima lagi ahli RCI ialah Pengamal Undang-Undang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, bekas Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya Prof Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran Prof Datin Dr Faridah Jalil, Pegawai Kewangan Negeri Johor Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia Dickson Dollah.

Sultan Ibrahim turut memperkenan Zamri sebagai Setiausaha RCI, manakala BHEUU JPM pula akan bertindak sebagai urus setia.

Pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.

Anwar pada Disember lepas turut meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.

Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

-- BERNAMA