Agong, Permaisuri berangkat ke Majlis Santapan Malam Festival Tanglung

Bernama
September 26, 2023 15:58 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Majlis Santapan Malam Festival Tanglung Perpaduan Cina 2023. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berangkat ke Majlis Santapan Malam Festival Tanglung Perpaduan Cina 2023, di sini malam ini.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada majlis itu, kedua-dua Seri Paduka berkenan menyempurnakan gimik pembukaan majlis dengan acara memotong kuih bulan dan simbolik nyalaan tanglung.
Hadir sama pada majlis anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim Malaysia (Persatuan Lim) adalah Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim, pemimpin veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.
Festival Tanglung atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh, merupakan acara penting dari segi budaya bagi kaum Cina di Malaysia selain sarat dengan elemen jalinan kekeluargaan dan komuniti.
Majlis Santapan Malam Festival Tanglung Perpaduan Cina 2023 dihadiri kira-kira 300 tetamu bagi melambangkan perpaduan, kepelbagaian serta keindahan budaya rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Majlis Santapan Malam Festival Tanglung #Raja Permaisuri Agong #kuih bulan