LABUAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menyerahkan Rumah Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada kumpulan asnaf di pulau bebas cukai ini.

Penyerahan 140 unit kondominium Ganggarak Permai 14 tingkat di bawah skim bantuan perumahan MAIWP kepada penerima layak itu, melibatkan peruntukan RM30.6 juta dan inisiatif itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

MAIWP turut menambah peruntukan RM3.2 juta untuk peralatan keperluan rumah, deposit bil air dan elektrik, jeriji keselamatan dan kabinet dapur.

Rumah Asnaf di Ganggarak Permai turut dilengkapi dengan masjid, taman permainan kanak-kanak dan dewan serba guna.

Selepas penyerahan rumah itu, baginda berdua meluangkan masa bermesra dengan penerima dan melawat unit kondominium berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata inisiatif Rumah Asnaf itu dapat mewujudkan ekosistem bernilai yang mampu menguruskan wang zakat untuk skim bantuan perumahan MAIWP dengan berkesan.

"Keadaan ini ialah ekosistem yang bagus ... MAIWP menyediakan kemudahan perumahan untuk tinggal dan wang zakat itu akan beralih, berpusing dalam ekosistem sama," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata inisiatif Rumah Asnaf ialah model yang bagus yang boleh diperluas ke Putrajaya dan Kuala Lumpur bagi memanfaatkan kumpulan asnaf di Wilayah Persekutuan berkenaan.

"Peringkat kedua selepas penyerahan Rumah Asnaf ini, kami akan melihat tanah sesuai di Labuan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan untuk pembinaan perkampungan asnaf," katanya.

Mohd Daud berkata program Rumah Asnaf akan membolehkan penerima 140 unit kondominium tinggal di sana tanpa perlu membayar sewa bulanan serta MAIWP merupakan pemilik asal kesemua unit itu dan ia boleh digunakan untuk kumpulan asnaf yang lain pada masa depan.

-- BERNAMA