Agong, Permaisuri selamat tiba di Madinah

Bernama
Jun 22, 2023 03:17 MYT
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Kota Suci Madinah, Arab Saudi semalam disambut Putera Faisal bin Salman Al Saud. - Gambar Faceboook ISTANA NEGARA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Kota Suci Madinah, Arab Saudi semalam.
Menerusi perkongsian dalam Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz pada 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
"Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua yang diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan paduka-paduka anakanda disambut Gabenor Madinah Yang Amat Mulia Putera Faisal bin Salman Al Saud," menurut catatan itu, hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berada di Madinah dan Makkah hingga 1 Julai untuk menunaikan ibadah haji.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang merupakan kemuncak haji adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.
Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun. - BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Raja Permaisuri Agong #Agong tunai haji #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah