Agong, Permaisuri zahirkan ucapan takziah atas pemergian Tun Rahah

Umavathi Ramayah
Disember 18, 2020 10:44 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah-. - Gambar Instagram@istana_negara
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah, yang meninggal dunia pada petang Jumaat.
Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap "agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu".
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut Istana Negara dalam satu hantaran di Instagram di sini, pada Jumaat.
Menurut perkongsian itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkesempatan berangkat menziarahi Allahyarham di Pusat Perubatan Prince Court, pada Khamis.
Allahyarham yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak menghembuskan nafas pada usia 87 tahun.
Tun Rahah merupakan ibu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain Najib, Tun Hajah Rahah mempunyai empat lagi anak termasuk bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak.
BACA: Jenazah Tun Rahah tiba di kediamannya
BACA: Mengenang Tun Rahah: Insan ini penyayang, prihatin, baik hati dan tabah - Hishammuddin
BACA: Kekuatan di sebalik kelembutan wanita bernama Tun Rahah

* Astro AWANI sedang mengikuti perkembangan terkini pemergian Allahyarham Tun Rahah di saluran 501, Live TV di platform digital dan semua platform media sosial Astro AWANI.
#MengenangTunRahah #Najib Razak #Yang di-Pertuan Agong #Permaisuri #Pusat Perubatan Prince Court #meninggal dunia