Agong rasmi Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor, sebak kenang Almarhum Tunku Abdul Jalil

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menandatangani pada plak sempena perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di sini hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Suasana hiba menyelubungi majlis perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di Larkin hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dilihat sebak ketika menonton montaj khas memperingati anakanda baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.
Ringkasan AI
- Suasana hiba menyelubungi majlis perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di Larkin dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang sebak menonton montaj khas memperingati Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.
- Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor menawarkan peralatan perubatan terkini termasuk PET CT Scanner, Linear Accelerator, Cyclotron, Theranostics, dan Terapi Gen, sebagai penghormatan kepada Almarhum yang wafat akibat kanser hati pada tahun 2015.
- Pusat rawatan itu didedikasikan untuk semua lapisan masyarakat, khususnya penduduk Johor berpendapatan rendah, dengan komitmen menyediakan perkhidmatan perubatan maju dan memperkasa sektor perubatan negeri serta merancakkan pelancongan perubatan Johor.
Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor yang dirasmikan hari ini terletak berhadapan Perpustakaan Sultan Ismail dan menawarkan fasiliti perubatan termasuk Positron Emission Tomography (PET) CT Scanner, Linear Accelerator, Cyclotron, Theranostics dan Terapi Gen.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 8.57 pagi diiringi Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, dan Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebak ketika menonton montaj khas memperingati pemergian Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim akibat kanser hati pada Majlis Perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di sini hari ini. - Foto Bernama
Turut berangkat ialah Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
"Dengan ini, saya merasmikan pelancaran Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor," titah Sultan Ibrahim ketika merasmikan pusat perubatan itu.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengarah Hospital Tunku Laksamana Johor Dr William Chong, yang memaklumkan pusat rawatan itu didedikasikan untuk semua lapisan masyarakat bagi mendapatkan rawatan terbaik.
"Kami komited dan berikrar untuk menyediakan perkhidmatan perubatan maju kepada semua lapisan masyarakat, khususnya Bangsa Johor. Kami tidak akan mengabaikan isi rumah berpendapatan rendah dan akan menyediakan masa, ruang serta sumber yang mencukupi untuk membantu semua penduduk di negeri ini," katanya.
Menurut beliau Hospital Tunku Laksamana Johor akan dilengkapi dengan mesin khas siklotron baharu bagi manfaat rakyat, sambil memastikan komitmen terhadap golongan berpendapatan rendah, dengan menyediakan masa, ruang dan sumber mencukupi untuk mereka.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata perasmian pusat berkenaan menjadi detik penting kepada usaha memperkasa sektor perubatan negeri itu sekali gus merancakkan pelancongan perubatan Johor.
Majlis perasmian turut disempurnakan dengan pelancaran logo Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor dan penandatanganan plak perasmian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


