Agong sembahkan DK Pahang kepada Sultan Johor, terima DK Johor

Bernama
Disember 8, 2023 11:45 MYT
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menerima DK1 daripada Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mempersembahkan Darjah Kerabat (DK) Pahang kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Darjah kebesaran DK Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati itu dipersembahkan Al-Sultan Abdullah kepada Sultan Ibrahim pada istiadat yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, di sini.
Sultan Ibrahim kemudiannya mempersembahkan DK Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK1) kepada Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Istiadat itu turut disaksikan paduka anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Johor #darjah kebesaran #Al-Sultan Abdullah