KUANTAN: Pemasangan landasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula esok, iaitu berbaki tiga tahun sebelum laluan rel sepanjang 665 kilometer (km) yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia itu mula beroperasi pada Januari 2027.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian pemasangan landasan ECRL pertama itu di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng di sini.

Pada Mei lepas, Pengurus Pembinaan Wilayah (Pahang) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Khairi Khalid Abdul Rahman dilaporkan media berkata pemasangan landasan pertama itu melibatkan laluan dari Gebeng ke Dungun, Terengganu sepanjang 90km, dengan jangkaan siap antara tiga ke empat bulan.

Pemasangan landasan dijangka melibatkan 1.5km sehari dan Gebeng menjadi lokasi pertama memandangkan material yang digunakan termasuk lokomotif diesel buatan CRRC Ziyang, China, bagi melancarkan proses pemasangan, dibawa ke Malaysia menggunakan kargo yang berlabuh di Pelabuhan Kuantan.

ECRL merupakan projek milik MRL iaitu syarikat berkeperluan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan projek itu.

ECRL yang bermula di Kota Bharu, Kelantan dan tamat di Lembah Klang, Selangor bakal menjadi sebuah infrastruktur nasional yang menghubungkan bandar raya dan bandar-bandar utama serta meningkatkan sistem pengangkutan awam di luar bandar di semua empat negeri dilaluinya.

Pembinaan dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dengan keseluruhannya melibatkan 20 stesen serta mempunyai 40 terowong dengan jarak melebihi 60km.

Ia menawarkan perkhidmatan keretapi penumpang pada kelajuan 160km/j dan keretapi kargo dengan kelajuan 80km/j, yang dapat mengurangkan waktu perjalanan dari Kelantan ke Lembah Klang menjadi sekitar empat jam berbanding tujuh jam menerusi jalan darat, yang boleh mencecah 12 jam pada musim perayaan.

Selain menjadi pemangkin kesetaraan ekonomi Pantai Barat dan Pantai Timur dan memacu aktiviti komersial, pelaksanaan ECRL juga membuka peluang pekerjaan dengan sekitar 23,000 pekerja diperlukan dalam tempoh puncak pembinaannya selain turut melibatkan penyertaan kontraktor tempatan sebanyak 40 peratus bagi kerja sivil yang dianggarkan bernilai hingga RM10 bilion.

Projek mega yang dirasmikan pada 9 Ogos 2017 itu juga tidak lari daripada tempias perubahan kerajaan pada 2018 termasuk penggantungan projek selama sembilan bulan, namun kemudiannya diteruskan dengan jajaran baru dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang (Negeri Sembilan)-Bangi-Kajang (Selangor)-Putrajaya-Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun pada Mac 2021, Kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa jajaran ECRL kembali ke jajaran asal iaitu melalui Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang) selepas mengambil kira tinjauan dan kajian bagi menjadikan ECRL yang dianggarkan bernilai RM50 bilion, sebuah pengangkutan rel nasional yang lebih efisien.

Bagi mengelak permasalahan jajaran berulang, laluan projek ECRL dimuktamadkan sepenuhnya pada 2022 dengan Menteri Pengangkutan pada masa itu, menandatangani kelulusan penuh Skim Keretapi Jajaran C2 selepas Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengemukakan permohonan oleh MRL selaku pemilik projek.

Selain itu, antara persepsi yang terpaksa dihadapi ialah berkaitan alam sekitar dan MRL menegaskan bahawa mereka komited dalam melindungi alam sekitar, hutan, hidupan liar serta kualiti hidup penduduk di sepanjang laluan ECRL.

Usaha itu antaranya menerusi pembinaan terowong dan jejambat lebih 145km bertujuan mengurangkan kehilangan hutan simpan secara signifikan, mengurangkan pemotongan bukit dan membolehkan pergerakan bebas hidupan liar, mengambil kira kawasan sepanjang jajaran ECRL adalah habitat penting pelbagai spesies haiwan.

Selain itu, Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek berkenaan juga telah diluluskan pada Jun 2017, selain kerjasama erat dilakukan dengan pihak berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

CCCC pula, sebagai contoh memperuntukkan RM9 juta kepada Perhilitan bagi tujuan melakukan tinjauan, pengawasan dan mitigasi konflik hidupan liar.

-- BERNAMA