Skip to main content

Malaysia

Agong seru rakyat tolak fitnah, kebencian di media sosial

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan bergambar sempena Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-105. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan bergambar sempena Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-105. - Foto BERNAMA

Advertisement

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyeru rakyat Malaysia supaya mengamalkan adab ketika menggunakan media sosial serta tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghina, memalukan atau menjatuhkan maruah individu lain.

Bertitah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam, hari ini, Seri Paduka Baginda menegaskan adab merupakan asas penting dalam membentuk perpaduan, keharmonian dan maruah negara.

Baginda bertitah, perkembangan dunia digital dan media sosial ketika ini menyaksikan segelintir pihak semakin bebas mengeluarkan kata-kata kesat, menghina serta mencaci individu lain tanpa memikirkan kesan terhadap mangsa.

"Sesungguhnya adab bukan sekadar bersopan santun, tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara," titah Baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi AI untuk menghasilkan gambar dan video palsu dengan tujuan menghina serta memalukan seseorang.

Baginda mengingatkan bahawa setiap individu yang menjadi sasaran kecaman mempunyai keluarga, maruah dan perasaan yang perlu dihormati.

Selain itu, Baginda menegaskan media sosial tidak sepatutnya dijadikan platform untuk menghasut, menimbulkan kebencian atau memecahbelahkan masyarakat.

"Setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab. Gunakan media sosial dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain," titah Baginda.

Seri Paduka Baginda turut menggesa rakyat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita tanpa terlebih dahulu memastikan kesahihannya bagi mengelakkan penyebaran fitnah dan kebencian.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan terhadap peranan UiTM yang telah melalui tujuh dekad dalam membangunkan dan mengangkat martabat bangsa menerusi pendidikan tinggi.

Baginda turut mengumumkan perkenan menamakan Kampus Jalan Othman sebagai Kampus Tun Arshad Ayub sebagai menghargai jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub yang menerajui penubuhan dan pembangunan universiti itu sejak 1965.

Pada majlis sama, Baginda mengucapkan tahniah kepada semua graduan, ibu bapa dan warga UiTM atas kejayaan yang dicapai serta mendoakan universiti itu terus cemerlang dalam melahirkan generasi berilmu demi kemajuan negara.

 

Must Watch Video

Advertisement