MALAYSIA

Agong terima menghadap PM Anwar, dipersembah taklimat isu semasa

Bernama 25/09/2025 | 03:00 MYT
Seri Paduka Baginda berkenan dipersembahkan taklimat mengenai pelbagai isu semasa. - Foto Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada pertemuan itu Seri Paduka Baginda berkenan dipersembahkan taklimat mengenai pelbagai isu semasa.

"Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan mengenai pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada bulan depan," menurut hantaran itu.


Pada Isnin lepas, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi penyasaran subsidi di bawah inisiatif BUDI95.

Menurut Kementerian Kewangan, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 Sept manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept diikuti 30 Sept bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pula berlangsung di ibu negara dari 26 hingga 28 Okt ini.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan menganjurkan sidang kemuncak itu dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' dan menjadi acara antarabangsa besar yang menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog dari seluruh dunia.

-- BERNAMA







#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Anwar Ibrahim #Istana Bukit Tunku