MALAYSIA

Agong terima menghadap PM, dipersembah hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Bernama 30/10/2025 | 04:30 MYT
Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Bukit Tunku di sini, hari ini. - Gambar/ FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini, hari ini.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Bukit Tunku bagi mempersembahkan hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung minggu lalu.
  • Sebanyak 80 dokumen diterima dan diluluskan sepanjang sidang tersebut, termasuk kenyataan bersama dengan negara rakan seperti Amerika Syarikat, Jepun, India, Australia dan New Zealand, serta pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja.
  • Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan peralihan kepimpinan serantau ketika negara memasuki fasa akhir sebagai pengerusi bagi tahun 2025.


Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda dipersembahkan mengenai hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara minggu lalu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam memaklumkan bahawa sebanyak 80 dokumen hasil diterima dan diluluskan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.

Dokumen berkenaan termasuk Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN dengan Amerika Syarikat, Jepun, India, New Zealand dan Australia hasil daripada Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Asia Timur (EAS), Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) dan Pemimpin Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Menurut PMO satu lagi kejayaan penting ialah pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi 2025.

-- BERNAMA



#ASEAN Summit 2025 #Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Yang di-Pertuan Agong