MALAYSIA

Agong tiba di Bahrain untuk lawatan negara tiga hari

Bernama 06/11/2025 | 14:10 MYT
Lawatan negara ke Bahrain ialah lawatan keenam dilaksanakan Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi. - Facebook Sultan Ibrahim
MANAMA (BAHRAIN): Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba di sini pada Khamis untuk lawatan negara selama tiga hari ke Bahrain.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh selepas menamatkan lawatan empat hari di Arab Saudi, selamat mendarat di Pangkalan Udara Sakhir, di sini pada 3.40 petang (8.40 malam waktu Malaysia).

Mengiringi Yang di-Pertuan Agong ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim diberi sambutan hamparan permaidani merah oleh Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa, dan putera Bahrain yang lain.

Berangkat sama bagi menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah paduka anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al- Haj.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Rozainor Ramli, dan Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menerima persembahan jambangan bunga daripada dua kanak-kanak perempuan, sebelum melintasi barisan kawalan kehormatan setempat dan disambut oleh kenamaan dari Malaysia dan Bahrain.

Seri Paduka Baginda seterusnya berangkat ke Istana Sakhir, Zallaq bagi istiadat sambutan negara oleh Raja Hamad.

Lawatan negara ke Bahrain ialah lawatan keenam dilaksanakan Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi.

Lawatan itu juga menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara pulau di Teluk Parsi itu, yang merupakan lawatan pertama seumpamanya sejak 1974.

Tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Bahrain bernilai RM1.19 bilion (USD0.26 bilion).

Eksport Malaysia ke negara itu antaranya termasuklah makanan diproses, produk sawit, produk elektrik dan elektronik serta peralatan pengangkutan, manakala import utama dari Bahrain meliputi barangan logam, bijih dan sisa logam, produk petroleum, serta besi dan keluli.

Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 terbesar dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

-- BERNAMA


#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Lawatan Negara #Bahrain