MALAYSIA

Agong zahir nasihat penjawat awam kekal integriti, perkukuh tadbir urus

Bernama 08/01/2026 | 04:35 MYT
Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Shamsul Azri di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Facebook Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan nasihat kepada seluruh penjawat awam supaya sentiasa mengekalkan integriti serta amanah dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.

Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah penjawat awam merupakan tunjang utama pentadbiran negara serta memainkan peranan penting dalam memastikan dasar dan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Baginda turut menekankan kepentingan budaya kerja berteraskan nilai kejujuran, ketelusan dan kecekapan selain menolak sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan hingga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.

Titah nasihat itu dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Istana Bukit Tunku di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai isu semasa perkhidmatan awam termasuk usaha memperkasa tatakelola dan pengukuhan tadbir urus.

Sementara itu, hantaran berasingan memaklumkan Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima mengadap Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Datuk Ibrahim Darus, yang berlangsung di lokasi sama hari ini.

-- BERNAMA

#Yang di-Pertuan Agong #Shamsul Azri Abu Bakar #penjawat awam #perkhidmatan awam