Skip to main content

Malaysia

Agrobank, Jabatan Perikanan peruntuk RM200 juta modenkan sektor perikanan

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin (tengah) bersama Ahmad Ariff (dua, kanan) pada simbolik penyerahan cek peruntukan RM200 juta bagi pemodenan sektor perikanan sempena MAHA 2026 di MAEPS, Serdang, 30 Ogos 2026. - Foto Agrobank
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin (tengah) bersama Ahmad Ariff (dua, kanan) pada simbolik penyerahan cek peruntukan RM200 juta bagi pemodenan sektor perikanan sempena MAHA 2026 di MAEPS, Serdang, 30 Ogos 2026. - Foto Agrobank

Advertisement

SERDANG: Agrobank bersama Jabatan Perikanan Malaysia memperkukuh usaha memodenkan dan memastikan kelestarian industri perikanan negara menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta.

Peruntukan itu disalurkan menerusi Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan (PEMACU) dan Skim Geran Padanan Penggantian Vesel Pukat Tunda Zon B dan Pukat Kenka Dua Bot (PENGGANTI).

Menurut Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank Ahmad Ariff Abu Bakar, pemodenan peralatan nelayan penting bagi meningkatkan hasil tangkapan serta memenuhi keperluan sumber makanan negara.

“Program ini dapat membantu memodenkan peralatan nelayan supaya mereka dapat menangkap lebih banyak ikan, selain usaha meningkatkan kos dan mendapatkan hasil yang lebih baik bagi memenuhi keperluan sumber makanan di Malaysia.

"Kami memainkan peranan yang sangat penting dalam memacu sektor makanan negara bagi membantu kerajaan mencapai keterjaminan makanan di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada MAHA 2026 di MAEPS, di sini, semalam.

Usaha berkenaan dilaksanakan bagi menyokong pemodenan sektor perikanan tangkapan, khususnya melalui penggunaan vesel dan peralatan nelayan yang lebih moden serta cekap.

Bagi skim PEMACU, pembiayaan sehingga RM10 juta disediakan bagi perolehan vesel moden, manakala sehingga RM500,000 ditawarkan bagi kerja ubah suai, mekanisasi dan automasi vesel.

Sementara itu, skim PENGGANTI menawarkan geran padanan pada nisbah 70:30, iaitu 70 peratus geran dan 30 peratus daripada sumber pemilik, tertakluk kepada syarat kelayakan.

Selain sokongan kewangan, Agrobank dan Jabatan Perikanan Malaysia turut bekerjasama melaksanakan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) bagi meningkatkan kapabiliti serta kapasiti golongan sasaran dalam industri perikanan.

Ahmad Ariff berkata, Agrobank turut menyediakan perkhidmatan tambahan termasuk kaunseling dan bimbingan bagi membantu pemain industri mengembangkan serta menguruskan perniagaan mereka.

“Kami banyak membantu dari segi pembiayaan kerana ia dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan. Selain itu, Agrobank turut menyediakan perkhidmatan tambahan bagi membantu perniagaan dalam sektor ini. Antaranya, kami menyediakan perkhidmatan kaunseling dan bimbingan untuk membantu mereka menguruskan perniagaan.”

Inisiatif berkenaan merupakan antara program yang diketengahkan Agrobank sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) hingga 6 September ini.
 

 

Must Watch Video

Advertisement