Skip to main content

Malaysia

Agrobank, MPOB percepat pembiayaan pekebun melalui TSPKS 2.0

AGROBANK TSPKS TB
Platform itu dilancarkan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). - Gambar Agrobank
Advertisement

SERDANG: Agrobank dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan sistem TSPKS 2.0 bagi mempercepat proses permohonan, pemantauan dan tindakan susulan pembiayaan untuk pekebun kecil sawit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, platform digital bersepadu itu menjadi langkah penting dalam meningkatkan kecekapan penyampaian Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0).

“Melalui sistem ini, Agrobank dan MPOB boleh memantau status permohonan melalui platform yang sama, sekali gus mengurangkan proses berulang dan mempercepatkan tindakan,” katanya.

Sistem berkenaan membolehkan maklumat dan dokumen sokongan yang diperoleh pegawai MPOB ketika lawatan tapak, termasuk gambar kebun, dimuat naik secara digital untuk rujukan Agrobank dalam memproses pembiayaan.

Status permohonan pula akan dikemas kini oleh Agrobank menerusi platform sama bagi memudahkan tindakan susulan MPOB.
 

Image
AGROBANK TSPKS INSERT
Setakat ini, Agrobank menerima 4,380 permohonan TSPKS 2.0 bernilai RM190.99 juta, melibatkan kawasan seluas 12,197.11 hektar. - Gambar Agrobank


Ahmad Badli berkata, proses permohonan menerusi sistem berkenaan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh kurang sebulan.

“Pemprosesan akan mengambil masa kurang daripada sebulan. TSPKS ini membantu pekebun kecil sawit persendirian melaksanakan penanaman semula pokok kelapa sawit yang kurang produktif melalui akses pembiayaan yang mampu milik.

“TSPKS ini merangkumi 50 peratus geran kerajaan dan 50 peratus pembiayaan kepada pekebun kecil sawit yang layak,” katanya.

Beliau memaklumkan, pelaksanaan program itu akan diteruskan hingga tahun hadapan dengan RM200 juta diperuntukkan bagi membiayai pekebun kecil sawit.

TSPKS 2.0 merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu pekebun kecil sawit persendirian menanam semula pokok sawit tua atau kurang produktif secara lebih terancang.

Skim itu meneruskan pelaksanaan TSPKS 1.0 menerusi kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi, MPOB serta Agrobank.

Kerjasama berkenaan disasarkan membantu meningkatkan produktiviti kebun, daya tahan usaha tani dan pendapatan pekebun kecil dalam jangka panjang, selain menyokong kemampanan sektor sawit negara.

Platform itu dilancarkan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
 

Image
AGROBANK TSPKS INSERT
Pelancarannya disempurnakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. - Gambar Agrobank

Must Watch Video

Advertisement