Skip to main content

Malaysia

Agrobank, PIBKS KVSMT sedia RM10 juta bantu graduan TVET berniaga

AGRO MOU TB
Mohamad (tengah), bersama wakil Agrobank dan PIBKS KVSMT Kebangsaan pada majlis pertukaran memorandum persefahaman di MAHA 2026. - Gambar Agrobank
Advertisement

SERDANG: Agrobank memperuntukkan RM10 juta menerusi Skim Pembiayaan Mudah Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membantu golongan berkenaan memulakan perniagaan sebaik menamatkan pengajian.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, lebih 2000 graduan disasarkan menerima manfaat daripada skim yang menawarkan akses kepada modal permulaan itu.

“Dalam pembiayaan ini kita memperuntukkan RM10 juta dan maksimum setiap peserta boleh mendapatkan pembiayaan daripada Agrobank sehingga RM5,000 dengan kadar keuntungan yang rendah, iaitu 4.75 peratus.

“Mereka tidak perlu pengalaman. Habis keluar daripada kolej kemahiran vokasional dan TVET dan mempunyai sijil, mereka boleh pergi ke mana-mana cawangan Agrobank untuk mendapatkan pembiayaan sehingga RM5,000 bagi memulakan perniagaan mereka,” katanya.

Skim itu dilancarkan menerusi kolaborasi strategik antara Agrobank dengan Persatuan Industri Bersepadu Komuniti dan Swasta Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik Peringkat Kebangsaan (PIBKS KVSMT Kebangsaan).

Image
AGRO MOU INSERT
Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin ketika ditemui media selepas pelancaran Skim Pembiayaan Mudah Graduan TVET di MAHA 2026. - Gambar Agrobank

Menerusi kemudahan berkenaan, graduan yang layak boleh memohon pembiayaan antara RM1,000 hingga RM5,000 untuk tempoh sehingga lima tahun pada kadar keuntungan 4.75 peratus setahun.

Pembiayaan itu boleh digunakan untuk membeli peralatan, mesin, perkakasan serta keperluan lain bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan dalam bidang berkaitan.

Antara kelebihan yang ditawarkan ialah proses permohonan dipermudah tanpa memerlukan pengalaman bekerja, tempoh minimum operasi perniagaan, dokumen pendapatan atau cagaran.

Tengku Ahmad Badli berkata, sokongan Agrobank tidak terhenti pada penyediaan modal, sebaliknya turut merangkumi bimbingan bagi membantu graduan mengurus dan mengembangkan perniagaan.

“Selain daripada pembiayaan, Agrobank juga akan memberikan khidmat nasihat dari segi pengurusan kewangan dan pemasaran untuk mereka menceburkan diri dalam bidang masing-masing.

“Kita akan membimbing dengan titik sentuh sehingga tiga bulan dan kita akan terus memantau kemajuan perniagaan mereka,” katanya.

Image
AGRO MOU INSERT
Kerjasama itu juga akan memperluas capaian kepada graduan TVET di seluruh negara, meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan serta menyokong pembangunan lebih ramai usahawan muda berkemahiran.

Skim berkenaan dibuka kepada rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 35 tahun yang memiliki sijil, diploma atau ijazah daripada institusi teknikal dan vokasional yang diiktiraf di Malaysia.

Kempen itu berlangsung dari September 2026 hingga Ogos 2027 atau sehingga peruntukan RM10 juta digunakan sepenuhnya, mengikut mana-mana yang terdahulu.

Majlis menandatangani kolaborasi strategik dan pelancaran skim berkenaan turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Must Watch Video

Advertisement