[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Agrobank tawar moratorium 6 bulan bantu mangsa banjir

Astro Awani 18/09/2025 | 06:50 MYT
Bantuan ini meliputi penangguhan bayaran balik pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan Agrobank yang layak dan terjejas akibat bencana ini.
KUALA LUMPUR: Agrobank mengumumkan tawaran moratorium selama enam bulan bagi membantu pelanggan yang terkesan akibat bencana banjir di seluruh negara, khususnya di Sabah.


Ringkasan AI
  • Agrobank tawarkan moratorium enam bulan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir, khususnya di Sabah.
  • Penangguhan bayaran ini bertujuan meringankan beban pelanggan yang alami kerosakan harta benda dan gangguan pendapatan.
  • Pegawai Agrobank akan menghubungi pelanggan terjejas untuk memudahkan proses permohonan dan pelaksanaan bantuan.


“Bantuan ini meliputi penangguhan bayaran balik pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan Agrobank yang layak dan terjejas akibat bencana ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin turut menzahirkan simpati terhadap mangsa banjir.

“Kami memahami kesukaran yang dihadapi pelanggan akibat banjir baru-baru ini. Agrobank sentiasa proaktif dalam menyediakan bantuan khusus untuk meringankan beban mereka.

“Kami berharap moratorium ini dapat memberi sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh mencabar ini,” katanya.

Beliau turut mengambil maklum mengenai sebahagian pelanggan Agrobank yang mengalami kerosakan harta benda serta aset perniagaan.

Tambahnya, pegawai Agrobank akan menghubungi pelanggan yang terjejas bagi memudahkan proses pelaksanaan moratorium berkenaan.

“Saya dimaklumkan bahawa sebahagian pelanggan mengalami kerosakan harta benda, ladang dan aktiviti pertanian.

"Kejadian ini secara langsung menjejaskan sumber pendapatan dan kelangsungan perniagaan mereka.

“Ada pelanggan memerlukan penangguhan sementara untuk menumpukan usaha memulihkan semula perniagaan.

"Justeru, pelanggan yang layak boleh memohon kemudahan moratorium ini bagi membina semula perniagaan masing-masing.

“Pegawai kami juga akan menghubungi pelanggan terjejas untuk membantu mereka mengharungi situasi ini,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Agrobank di 1-300-88-2476, melayari laman sesawang www.agrobank.com.my atau hadir ke mana-mana cawangan Agrobank.









#banjir #mangsa banjir #Sabah #AgroBank #Moratorium enam bulan