Agromakanan: Jangan politik kenyataan saya - Saarani

Abd Razak Mohd Ali
Jun 6, 2022 05:11 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menyantuni penduduk setempat pada Program Moh Mengopi di Pasar Awam Tapah hari ini. - Foto BERNAMA
TAPAH: Saranan agar rakyat Perak melakukan aktiviti pertanian dengan menanam sayur-sayuran dan memelihara ternakan yang sesuai untuk keperluan sendiri, harus dilihat dari sudut positif.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia tidak harus dipolitikkan kerana ia melibatkan isu jaminan bekalan makanan dan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, saranan itu bukanlah perkara baharu kerana ia telah menjadi budaya dalam kalangan sebahagian masyarakat, khususnya di kampung-kampung baru Cina.

"Saya tak sebut pun orang kondo kena bela kerbau, saya tak sebut pun orang kondominium kena tanam sawi. Saya cuma sebut tak apalah kalau ada barangan yang kita tak boleh tanam macam gandum, tak apalah kita import lah.
"Tapi barang-barang makan lain macam cili macam sawi macam bayam, kucai, petola, kacang panjang, sayur-sayuran yang boleh ditanam sendiri oleh orang Perak tanamlah, itu saja yang saya kempen dan dia bukanlah perkara pelik," katanya.
Isu Bekalan Makanan | Jangan politikkan kenyataan mengenai agromakanan

Beliau ditemui selepas program ‘Moh Mengopi Bersama Menteri Besar’ sempena Program Mesra di Pasar Awam Tapah, pada Isnin.

Menurutnya, pemimpin politik, tanpa mengira parti, sepatutnya menggalakkan rakyat menjalankan aktiviti pertanian, sekurang-kurangnya untuk keperluan sendiri.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri Perak akan meneruskan program kebun kita yang menyalurkan pelbagai bantuan seperti kit fertigasi, baja, pasu dan benih.

Tahun lalu sahaja Perak membelanjakan kira-kira RM3.1 juta untuk menjayakan program tersebut.

Baru-baru ini, beberapa pihak mempersendakan saranan agar rakyat Perak melakukan aktiviti pertanian dengan menanam sayur-sayuran dan memelihara ternakan yang sesuai untuk keperluan sendiri.
#Saarani Mohamad #MB Perak #sekuriti makanan #Agromakanan