KUALA LUMPUR: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menyeru kerjaaan supaya menolak cadangan memberikan pengecualian kepada produk cecair atau gel nikotin daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952.

Presiden MPS, Prof Amrahi Buang, dalam satu kenyataan pada Selasa, berkata cadangan sedemikian akan memudaratkan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dan bukan untuk kepentingan negara.

"Mengecualikan ia daripada Akta Racun 1952 akan menghantar mesej yang salah kepada orang ramai, terutamanya golongan muda dan boleh membawa kepada peningkatan dalam penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

"Kami menggesa kerajaan untuk mengukuhkan peraturan mengenai e-rokok dan vape termasuk sekatan ke atas pemasaran dan pengiklanan dan meningkatkan pendidikan awam tentang bahaya penggunaan nikotin," katanya.

Beliau berkata demikian berikutan kemas kini bahawa akan ada mesyuarat tidak lama lagi oleh Lembaga Racun untuk membincangkan pengecualian kawalan nikotin di bawah Akta Racun 1952 untuk membolehkan ia dikenakan cukai oleh kerajaan.

Memetik kajian Kementerian Kesihatan (KKM), Amrahi berkata, kelaziman penggunaan e-rokok dalam kalangan orang dewasa di Malaysia telah meningkat daripada 0.3 peratus pada 2015 kepada 1.3 peratus pada 2019 dan majoriti pengguna e-rokok di Malaysia adalah golongan dewasa muda berusia antara 18 dan 24 tahun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Amrahi, berkata vape telah dikaitkan dengan lebih 40 kematian di seluruh dunia dengan lebih 2,000 kes kecederaan paru-paru dilaporkan di Amerika Syarikat manakala di Malaysia, terdapat beberapa kes kecederaan paru-paru dan kematian yang berkaitan dengan penggunaan e-rokok dan vape.

"Sebagai ahli farmasi, kami komited untuk mempromosikan kesihatan dan keselamatan awam. Nikotin, sama ada dalam bentuk cecair atau gel adalah bahan sangat ketagihan yang membawa risiko kesihatan yang ketara.

"Kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan nikotin boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular, paru-paru dan kanser. Selain itu, penggunaan nikotin semasa hamil boleh membahayakan janin yang sedang berkembang dan membawa kepada komplikasi semasa bersalin," katanya.

Akta Racun 1952 telah digubal untuk melindungi orang ramai daripada bahaya bahan berbahaya, termasuk nikotin dan untuk mengawal penjualan, pembekalan dan penggunaannya.

-- BERNAMA