KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak berharap Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian kepada keperluan rakyat di kedua-dua negeri termasuk usaha merealisasikan perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Wakil rakyat dari negeri Borneo itu antara lain mencadangkan usaha meningkatkan pemahaman rakyat terhadap kandungan dan impak MA63 dilaksanakan supaya tiada pihak mengambil kesempatan mencetuskan sentimen kenegerian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) mencadangkan supaya penerangan terperinci mengenai sejarah, kandungan dan tokoh penting dalam MA63 dimasukkan ke dalam silibus pendidikan sekolah agar rakyat mengingati jasa mereka yang berkorban ke arah penubuhannya.

Beliau berkata ramai tokoh dan wira perjuangan seperti Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang menentang penjajahan komunis di Tanah Melayu (kini Semenanjung Malaysia) bermula pada 1948.

"Sebelum tertubuhnya Malaysia pada 1963, sudah ada anak Sarawak yang berjuang pertahankan Malaya (Tanah Melayu) ketika itu. Malah ada yang terkorban dengan jasad 21 perwira telah dibawa pulang ke Sarawak melalui Op Mai Pulai pada Julai 2011 setelah bertahun lamanya bersemadi di negeri orang.

" ...maka usah diragui jasa dan kesetiaan kami anak Sarawak pada Malaysia dan fakta sejarah ini harus diajar di sekolah agar jangan ada yang beranggapan bahawa Sabah dan Sarawak bukan sebahagian daripada Malaysia," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) pula meminta kerajaan tidak melengahkan tuntutan Sabah agar 40 peratus hasil negeri yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dikembalikan semula kepada negeri itu.

Sejajar dengan rundingan tuntutan hak MA63, beliau mengharapkan pertimbangan lebih adil diberikan kepada Sabah dan Sarawak sama seperti yang dinikmati di Semenanjung.

Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) yang turut senada berkata penyelesaian bayaran cukai kepada Sabah amat kritikal untuk membantu meningkatkan pembangunan di negeri itu.

Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) pula merayu kerajaan supaya menyelesaikan isu yang membelenggui Sabah dan Sarawak seperti masalah jalan raya, sekolah daif, klinik usang serta ketidakstabilan jaringan Internet.

"Saya percaya dan yakin bahawa dengan 'me-MADANI-kan' masalah infrastruktur ini, dengan izin Tuhan, B40 atau kemiskinan dapat kita kurangkan dan noktahkan seterusnya mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya.

Luahan hati dan cadangan Ahli Parlimen Baram itu turut mendapat perhatian Dewan Rakyat apabila beberapa Ahli Parlimen dari Semenanjung selain Timbalan Menteri Digital Datuk Ugak Anak Kumbong yang turut bangun mencelah dan menyokong hujahan beliau.

"Walaupun saya Timbalan Menteri tak boleh menyokong tapi dengan keluhan kasihan dengan apa yang Baram ucapkan mengenai pembangunan luar bandar.... di sini saya mohon pada kementerian atau menteri berkenaan tolong pergi menjenguk ke kawasan Baram," katanya.

Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang mencelah perbahasan Anyi mencadangkan supaya segala rancangan pembinaan baharu seperti jalan raya atau lebuh raya di kawasan bandar dialihkan ke Baram atau mana-mana kawasan yang lebih memerlukan.

Pada masa sama, Ahli-Ahli Parlimen turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan beberapa inisiatif untuk rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pemberian subsidi tiket penerbangan pada musim cuti perayaan Aidilfitri bulan depan.

Persidangan bersambung hari ini.

-- BERNAMA